Tuesday, September 1, 2009

ZAKAT FITRAH PENGHAKIS SIKAP TAMAK
Ramadhon datang lagi. Bagi orang yang beriman, mereka menyambut datangnya bulan ini dengan ucapan 'Marhaban Ya Ramadhon, Marhaban Ya Shahrul Barakah'. Ini kerana pada bulan ini terkumpulnya segala kebaikan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Syaratnya setiap individu Muslim hendaklah berikhtiar menggali hikmah dan fadilatnya. Ibarat menggali permata berharga. Usahanya sedikit susah, namun berbaloi melepas lelah.
Apabila disebut Ramadhon, maka ia amat sinonim dengan zakat fitrah. Ibnu Umar meriwayatkan :
"Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhon kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahupun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum." (Riwayat Imam Muslim, No.935, Jilid 2, halaman 169)
Di dalam Islam, disamping zakat harta maka semua umat Islam yang layak diwajibkan zakat fitrah. Sungguh pun sama dari aspek nama dan amalan, namun ke dua-dua amalan fardhu ini mempunyai perbezaan.
PERBEZAAN ZAKAT FITRAH DAN HARTA
Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, samada merdeka mahupun hamba sahaya.Ini berbeza denganzakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba.Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain.Bahkan demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.
Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah keatasnya. Manakala nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi maka tinggilah nisabnya.
HIKMAH ZAKAT FITRAH
Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka ( berbuka puasa dan berhari raya). dan kegembiraan kedua ialah ketika menatap wajah Allah SWT di dalam syurga. (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).
Didalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini,fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit.
Disamping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang berkamsud mengembalikan fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri.Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.
Ibnu Abbas menyatakan:
"Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak bermanfaat dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin" (Riwayat Abu Daud).
Hakikatnya Islam adalah agama fitrah. Asas kepada fitrah ini adalah saling ambil tahu, saling berkongsi dan membantu. Berulang kali Allah SWT dan Rasulullah SAW menyarankan, agar umat Islam bersifat saling bantu membantu.Bahkan Allah SWT menegaskan semua Umat Islam itu adalah bersaudara(Al-Hujurat:10).
Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap Muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya jari jemari.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Oleh itu kedatangan Ramadhon Al Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah kita sebagai seorang Muslim. Muslim yang menyantuni sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama. Wallahu a'lam.

0 comments: