Tuesday, September 1, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 52

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam kemerdekaan buat semua,

Kemerdekaan merupakan satu nikmat yang dikurniakan Allah bagi seluruh manusia. Alhamdulillah negara kita , Malaysia dapat merasai nikmat kemerdekaan ini. Namun, perlu kita lihat juga, berapa ramai lagi umat manusia dan bangsa yang masih mengimpikan kemerdekaan bagi negara-negara mereka. Darah dan keringat dikerahkan untuk mencapai satu nikmat yang begitu berharga yang kita namakan Merdeka. Segala pergerakkan, kemudahan, kebebasan dan segala-galanya disekat oleh kuasa-kuasa besar dunia atas alasan yang tidak munasabah.Pejuang-pejuang kemerdekaan bagi negara kita telah dengan sedaya upaya membebaskan belenggu-belenggu penjajah yang telah menjajah negara kita sekian lamanya. Jasa-jasa mereka harus kita sanjungi dan jangan kita lupakan. Kerana mereka, kita pada hari ini merasakan nikmat kebebasan dalam kehidupan bagi mengurus tadbir negara dan masyarakat dengan baik, adil, dan bersistematik.

Hubbul Watan Minal Iman,
Islam telah sekian lama yang bertapak diseluruh negara telah memberi gambaran kepada kita apakah itu kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan yang dimaksudkan dalam Islam adalah membebaskan diri dan pemikiran daripada belenggu-belenggu jahiliyyah dan kemusyrikan terhadap Allah subahanahuwata'ala disamping membebaskan diri dan negara daripada cengkaman penjajah dan musuh-musuh Islam. Kita selaku individu muslim seharusnya bersyukur atas kemerdekaan ini dan wajib ke atas kita semua untuk mempertahankan negara kita daripada cengkaman musuh-musuh Islam baik dari sudut penjajahan pemikiran, akhlak, negara dan lain-lain. Atas dasar cintakan negara dari cengkaman penjajah kita pertahankan dan kita berjuang bukan atas dasar semangat kebangsaan semata-mata.

Rasulullah sebagai pejuang kemerdekaan,
Datangnya rasulullah sebagai pemberi rahmat kepada seluruh manusia bagi menyelesaikan masalah dunia dan akhirat yang berkisar dalam kehidupan manusia. Sejarah telah membuktikan betapa rasulullah dan para sahabat telah berhijrah dari Mekah ke Madinah dalam misi memisahkan belenggu-belenggu jahiliyyah yang ada pada manusia ketika itu, daripada kekufuran dan jahiliyah kepada kedamaian dan keamanan yang ada dalam Islam itu sendiri. Kerja ini telah bersambung daripada zaman ke zaman. Para Khulafa' ar-Rasyidin radhiallahuanhum ajmai'in, telah menyambung misi ini ke seluruh pelusuk dunia, sehinggalah kita pada hari ini telah merasa nikmat kemerdekaan dari kekufuran dan jahiliyyah yang membelenggu manusia sekian lamanya.

Firman Allah subahanahuwata'ala maksudnya;
"Sesudah itu patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum -hukum jahiliyyah? Padahal-kepada orang-orang yang penuh keyakinan- tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah" - Al-Maidah ayat 50.

Melalui ayat ini kita dapati Allah subahanahuwata'ala memerintahkan kita agar tidak mengingkari dan melaksakan segala hukum hakam dalam kehidupan seperitmana orang-orang jahilyyah, iaitu menjadikan perkara yang baik adalah dilarang dan perkara yang buruk adalah dipatuhi.

Seorang penyair Arab berkata dalam syairnya :
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak" -Ahmad Syauqi-

Akhlak juga merupakan aspek terpenting dalam memastikan kemerdekaan sesebuah negara. Keruntuhan akhlak dalam negara kita telah menunjukkan kita masih lagi terbelenggu oleh unsur-unsur jahiliyyah yang wajib ke atas kita untuk tangani bersama. Keruntuhan akhlak ini, akan menjadikan nilai moral sesebuah negara itu rosak dan dipandang hina oleh negara-negara lain. Sejarah juga telah memperlihatkan kepada kita bagaimana kejatuhan negara-negara Islam satu ketika dahulu ia adalah disebabkan kerana keruntuhan akhlak baik dari pimpinan ataupun daripada kebejatan sosial masyarakat yang begitu teruk. Bagi menangani masalah ini, seharusnya kita memperbaiki nilai akhlak kita, sama ada kita selaku pimpinan ataupun mereka yang dipimpin.

Moga-moga kemerdekaan kali ini dapat memberi sinar baru untuk kita lebih merapatkan diri kita kepada Allah. Perkara yang paling penting adalah pengharapan agar kemerdekaan ini mendapat keredhaan daripada Allah dan bukan kemurkaan daripadaNya. Akhir kata, Salam Kemerdekaan buat seluruh warga SK Pekan Putatan Khususnya, dan seluruh warga Malaysia amnya.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!.

Darah yang tumpah menjadi keringat,
Bagi mempatahankan agama yang murni,
Hendaklah kita sentiasa beringat,
Penjajahan jahiliyyah wajib ditangani.

Salam merdeka buat semua,
Kerana merdeka kita gembira
Jangan dilupa mereka yang merana,
Kerana segalanya akan ditanya.

Wassalam.

0 comments: