Thursday, September 3, 2009

MENCARI MALAM LAILATULQADAR

Hampir pertengahan Bulan Ramadhon telah kita lalui. Ini bermakna semakin hampir kita dengan 10 malam terakhir yang mana setiap kita ternantikan 10 malam terakhir ini. Bukan kerana kemeriahan memasang lilin dan lampu berwarna warna di sekelililing rumah tetapi malam yang kita nantikan bilakah malam Lailatulqadar?

Seorang Ulama' Tokoh ahli Sunnah wal jamaah, Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki telah menyebutkan dalam kitabnya Tazkirah Ramadhon, sesungguhnya Allah Yang Maha Pemurah telah menganugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW dengan Lailatulqadar, iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan satu anugerah yang tidak diberikan kepada umat-umat yang lain. Allah SWT telah berfirman:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al Quran) ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril a.s dengan izin Tuhan mereka kerana membaca segala perkara (yang ditaqdirkan berlaku pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar" (al-Qadar:1-5)

Para ulama' telah berbeza pendapat serta berbahas sebab apakah dinamakan dengan malam Lailatulqadar. Antaranya ialah:

* Pada malam itu dipaparkan seluruh taqdir atau ketentuan makhluk kepada para malaikat.

*Malam itu memiliki dan menyimpan sesuatu yang bersifat agung. Ini kerana al-Qadr etrinya kemuliaan dan keagungan.

*Lailatulqadar membawa maksud malam yang sempit.Ini kerana dunia pada malam itu mengalami kesempitan dan sesak kerana turunnya malaikat.

Rasulullah telah menggesa umatnya agar berusaha mencari Lailatulqadar dengan sabdanya:
"pilihlah malam Lailatulqadar pada bilangan malam yang ganjil daripada sepuluh terakhir Ramadhon"

Didalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Ibn Hambal r.a daripada Abdullah Ibn Umar r.a berkata,
"mereka iaitu beberapa orang sahabat Nabi SAW sentiasa menceritakan kepada Nabi SAW tentang mimpi-mimpi mereka bahawa Lailatulqadar ialah pada malam ke-7 likur daripada malam 10 terakhir Ramadhon".
Maka Nabi SAW bersabda:
"Aku melihat bahawa mimpi-mimpi kamu itu telah bersepakat menunjukkan Lailatulqadar ialah pada malam 7 likur daripada malam 10 yang terakhir Ramadhon.Sesiapa yang ingin memilihnya, maka pilihlah malam yang ke 7 likur dari 10 malam yang terakhir tersebut".

Imam Al Nawawi r.a, seorang ulama Hadis telah menyatakan disalam Majmu' Syarah al Muhazzab, bahawa tanda berlakunya Lailatulqadar ialah, pada malam tersebut keadaan tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Matahari yang terbit pada pagi hari itu pula kelihatan putih cerah tidak banyak sinaran cahayanya.

Saiyyidah Aisyah r.ha pernah bertanya kepada baginda SAW,
"wahai Rasulullah! sekiranya aku menemui malam Lailatulqadar, apakah doa yang harus dan baik untuk dibaca?"
Rasulullah SAW menjawab:
"Bacalah doa ini; Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun. Engkau menyukai akan keampunan, maka ampunilah kami".

0 comments: